Friday, 22 December 2017

Persatuan Mahasiswa Jadi Alat Politik


Kadang-kadang saya sedih melihat kepada rata-rata mahasiswa sekarang ini. Umpama burung di dalam sangkar emas. Cantik dari luar, terperangkap kebebasannya. Disuap dengan makanan-makanan politik dan merasai kebahagiaan sementara kerana dibela “orang-orang politik”. Tampak gah berbanding burung-burung lain yang terkpaksa berkerja keras mencari makanan sendiri. Hakikatnya terpenjara.

Memang diakui peruntukan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mahasiswa boleh berpolitik di luar kampus. Sungguh saya tidak menyangkal, jauh sekali menghalang kepada siswa-siswi untuk menceburi bidang politik samaada melalui proksi parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Ia menunjukkan bahawa mahasiswa itu cakna akan pentadbiran negara.

Namun, kita menyangka hujan sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari, yang mana niat asal untuk melibatkan diri dalam politik menjadikan mahasiswa-mahasiswi terlalu obsess hingga tergelincir kepada tujuan asal. Normalnya, ia selalu terjadi kepada pemimpin-pemimpin persatuan pelajar khususnya mereka yang bergelar Majlis Perwakilan Pelajar.

Mudah untuk seseorang pemimpin mahasiswa menjadi hanyut dengan habuan politik seandainya mereka tidak berhati-hati. Apa yang lebih membimbangkan, kalau beliau sendiri menyertai sebarang persatuan pelajar untuk dijadikan alat untuk menaikkan “cable” politik empunya diri. Sering sahaja berlaku isu menggunakan kelab-kelab yang dipimpin untuk melaksanakan program bersifat politik dan mengerah ahli-ahli persatuan yang dipimpin untuk hadir kepada program politik bagi menaikkan nama sendiri. Rata-rata contoh seperti ini hadir, bila pemimpin pelajar jadi pemimpin dengan niat yang salah.

Jarang sekali antara kita menyedari bahawa politik itu sebenarnya alat sahaja. Ya, alat untuk kita mempermudahkan segala tugasan memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar. Saya tidak menafikan untuk pemimpin pelajar menjalankan hubungan baik dengan “orang-orang politik”, namun jangan sampai kita dijadikan alat politik orang lain. Kita perlu ingat “orang-orang lpolitik” yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini jauh lebih makan garam dan bijak untuk mempergunakan kita berbanding niat kita yang ingin menggunakan mereka.

Oleh kerana itulah, pemimpin pelajar perlu sedar dan sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi pak turut sehingga tujuan asal untuk berpersatuan di universiti lari dari landasan. Perjuangan jadi retorik semata-mata.

Ya, politik memang alat. Jangan sampai kita diperalatkan.

No comments:

Post a Comment