Kadang-kadang saya
sedih melihat kepada rata-rata mahasiswa sekarang ini. Umpama burung di dalam
sangkar emas. Cantik dari luar, terperangkap kebebasannya. Disuap dengan
makanan-makanan politik dan merasai kebahagiaan sementara kerana dibela “orang-orang politik”. Tampak gah berbanding burung-burung lain yang terkpaksa
berkerja keras mencari makanan sendiri. Hakikatnya terpenjara.
Memang diakui peruntukan Akta Universiti &
Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mahasiswa boleh berpolitik di luar kampus.
Sungguh saya tidak menyangkal, jauh sekali menghalang kepada siswa-siswi
untuk menceburi bidang politik samaada melalui proksi parti pemerintah mahupun
parti pembangkang. Ia menunjukkan bahawa mahasiswa itu cakna akan pentadbiran
negara.
Namun, kita menyangka
hujan sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari, yang mana niat asal untuk
melibatkan diri dalam politik menjadikan mahasiswa-mahasiswi terlalu obsess
hingga tergelincir kepada tujuan asal. Normalnya, ia selalu terjadi kepada
pemimpin-pemimpin persatuan pelajar khususnya mereka yang bergelar Majlis
Perwakilan Pelajar.
Mudah untuk seseorang
pemimpin mahasiswa menjadi hanyut dengan habuan politik seandainya mereka tidak
berhati-hati. Apa yang lebih membimbangkan, kalau beliau sendiri menyertai
sebarang persatuan pelajar untuk dijadikan alat untuk menaikkan “cable” politik
empunya diri. Sering sahaja berlaku isu menggunakan kelab-kelab yang dipimpin
untuk melaksanakan program bersifat politik dan mengerah ahli-ahli persatuan
yang dipimpin untuk hadir kepada program politik bagi menaikkan nama sendiri.
Rata-rata contoh seperti ini hadir, bila pemimpin pelajar jadi pemimpin dengan
niat yang salah.
Jarang sekali antara
kita menyedari bahawa politik itu sebenarnya alat sahaja. Ya, alat untuk kita
mempermudahkan segala tugasan memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar. Saya
tidak menafikan untuk pemimpin pelajar menjalankan hubungan baik dengan
“orang-orang politik”, namun jangan sampai kita dijadikan alat politik orang
lain. Kita perlu ingat “orang-orang lpolitik” yang sudah lama berkecimpung
dalam bidang ini jauh lebih makan garam dan bijak untuk mempergunakan kita
berbanding niat kita yang ingin menggunakan mereka.
Oleh kerana itulah,
pemimpin pelajar perlu sedar dan sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi pak
turut sehingga tujuan asal untuk berpersatuan di universiti lari dari landasan.
Perjuangan jadi retorik semata-mata.
Ya, politik memang
alat. Jangan sampai kita diperalatkan.
No comments:
Post a Comment