Perantau yang mengunjung

nuffnang ads

Thursday, 26 November 2015

Mahasiswa Agen Masyarakat

Assalamualaikum W.B.T

Sebenarnay sudah lama, isi hati terbuku untuk menyampaikan pandangan di dada akhbar. Mungkin kerana status "lalang", aku jarang dapat peluang untuk menyampaikan. Hari ini tengok, tulisan diri ini, tanpa melalui tapisan  universiti berjaya muncul di dada akhbar. Alhamdulillah. Sedikit sahaja disunting.

Mahasiswa Agen Masyarakat, Moga bermanfaat.

Mahasiswa Agen Masyarakat Lesu?

Umum mengetahui bahawa mahasiswa begitu sinonim dengan peranan sebagai agen masyarakat sebagai ikon intelektual kepada masyarakat. Sejenak menelusuri alam kehidupan mahasiswa yang bergelumang dengan kesibukan tugasan belajar selain perlumbaan mengejar CGPA tertinggi, secara tidak lansung menjarakkan jalan-jalan penyambung intelektualisme yang memberi manfaat keapda masyarakat. Realitinya, ikon masyarakat kini kian lesu.

Peranan mahasiswa terhadap pembangunan masyarakat dilihat berkait rapat tidak kiralah dinaungi mana-mana gerakan mahasiswa yang berbeza fahaman politik sekalipun mempunyai sandaran atau visi tersendiri dalam memanifestasikan manfaat kepada masyarakat. Perlumbaan antara gerakan-gerakan mahasiswa yang berbeza ini sedikit menyumbang kepada limitasi manfaat mahasiswa kepada masyarakat. Sesungguhnya, sinergi utuh dalam kalangan gerakan-gerakan mahasiswa yang berbeza mampu menggerakkan kembali kegemilangan mahasiswa sebagai ikon masyarakat yang progresif.

Mendalami pendefinisian mahasiswa agen masyarakat, saya meletakkan kefahaman kukuh bahawa ianya tidak patut ditunjangi mana-mana parti politik dan dikongkong dengan birokrasi pentadbiran universiti bahkan ianya lebih efektif dipelopori mahasiswa yang sedar akan kepentingan peranan mahasiwa ini.

Hal ini berasaskan dengan senario sekarang yang menunjukkan segelintir mahasiswa yang “letih” setelah merasakan diri sebagai alat politik dan terikat dengan birokrasi universiti saat mereka ingin berkhidmat sebagai agen intelektual masyarakat. Saya berpandangan agen masyarakat bukanlah satu alat mana-mana politkus untuk menyebarkan ideologi masing-masing namun dampak kerana persepsi sebegini rupalah menjadikan mahasiswa lebih senang dengan kelas, katil dan kafe sahaja.

Kelesuan mahasiswa sebagai agen masyarakat seharusnya tidak dipandang enteng. Kita tidak mahu melahirkan bakal-bakal pemimpin yang hidup dalam dunia sendiri, jauh untuk peka kemaslahatan masyarakat. Universiti sepatutnya menjadi medan latihan yang progresif melahirkan agen masyarakat yang unggul

Prinsip mahasiswa agen masyarakat juga jelas. Memberi seribu satu manfaat kepada masyarakat kearah pembentukan permikiran masyarakat minda kelas pertama. Tanggungjawab dalam menyampaikan aspirasi atau kemana hala tuju kejayaan sesebuah negara bukan hanya jatuh kepada kerajaan pemerintah semata-mata bahkan turut didokong oleh mahasiswa-mahasiwa yang jelas matlamatnya. Lesu atau penat menjadi alasan dan retorik semata-semata dalam melahirkan mahasiswa agen masyarakat unggul.


Natijahnya, kita mahasiswa sudah perlu bangkit dari kelesuan yang sudah lama berlarutan. Masyarakat perlukan kita sejauh mana kita perlukan masyarakat untuk kita aplikasikan modal insan secara praktikkal bukan lagi sekadar teori. Ayuh mahasiswa, kita jadi agen masyarakat unggul.


*terima kasih cikgu BM, MRSM BESUT