Perantau yang mengunjung

nuffnang ads

Monday 26 February 2018

Cinta: Kenapa perlu fokus pada yang baru

Saya dapat persoalan dari seorang rakan bertanyakan perihal berkenaan cinta. Walaupun agak "cringe" dan sedikit "akward" untuk menconteng tulisan cinta di laman blog ini, saya kira tak salah untuk saya kongsikan jawapan yang saya berikan kepada rakan saya diruang ini. Manalah tahu memberi sedikit ruang membuka minda kepada mereka yang hadapi masalah yang sama seperti kawan saya.

Kawan saya situasinya begini:

Beliau baru sahaja putus cinta dengan kekasihnya, tiada berkaitan curang lebih kepada ketidaksefahaman dalam banyak perkara. Sayang dan cinta itu ada, cuma asyik bergaduh, tidak tenang, maka si gadis tinggalkan beliau, walaupun beliau merayu menangis meminta peluang namun tidak diendah. Setelah beberapa bulan, beliau bangkit,  keluarganya memperkenalkan beliau dengan seorang gadis. Tidak kurang cantiknya juga. Baik budi pekertinya. Mereka berkenalan. Agak serasi, namun katanya masih tiada aura rasa cinta. Kalau ada pun, tak sebesar cinta pertamanya dahulu. Dalam kekeliruan, dia dapat tahu, si gadis bekas kekasihnya masih menunggu beliau.

Jadi persoalan dia kepada saya, siapa patut dia pilih?

Saudara-saudari berpandangan macam mana? Kata kawan saya pandangan populis yang dilemparkan kepada sahabat saya adalah untuk memberi peluang kepada bekas kekasihnya. Maka keluar quote seperti "cinta itu memberi peluang", "bergaduh itu tanda sayang", "jangan permainkan perasaan mereka yang menunggu" dan sama ertinya yang menyokong supaya kawan saya kembali kekasihnya.

Saya pohon maaf untuk tidak berada di kalangan majoriti. Saya kata padanya, cliche, solat Istikharah lah. Cuma kalau pandangan saya, lebih baik beri peluang kepada orang yang baru daripada orang yang mensia-siakan peluang saat bersama kita. Mungkin pada pandangan sesetengah orang jawapan saya ini lebih kepada egois. Saya sertakan alasan yang kukuh.

1. Memang benar kesian fikirkan perasaan yang lama, namun perlu diingat, yang baru juga ada perasaan yang bukan hadir untuk mengubati luka dibuat yang lama. Bila sembuh dibuang begitu sahaja.

2. Percayalah, jarang yang memecahkan akan membaiki apa yang dipecahkan, seadainya ada yang sudah membaiki hati kamu yang pecah, maka hargai lah dia, jangan kamu balik kepada mereka yang memecahkan kerana tak mustahil untuk dia hadir memecahkan kembali.

3. Takdir Allah. Tuhan tidak suka-suka jadikan perpisahan kamu melainkan ada rancangan yang lebih baik. Misalnya, ada sebab kenapa Allah hantar seseorang yang baru, pilihan keluarga lagi, untuk ganti yang lebih baik untuk kamu.

4. Kalau sudah serasi. Beri masa. Beri peluang. Jatuh cinta itu juga satu pilihan. Bergantung kepada keredhaan kamu untuk menerima. Seseorang yang hidup kerana cinta lampau adalah seseorang yang rugi kerana masa hadapan sentiasa menjanjikan kejayaan yang lebih baik.

Saya bukakan minda beliau, pilihlah apa yang meyakinkan dan menenangkan hati. Percaya pada Allah S.W.T bukan sekadar dari kata-kata manusia. Saya suarakan pandangan bukan bermaksud dia perlu ikut. Tapi sekurang-kurangnya untuk dia berfikir. Saya akhiri dengan kata-kata sesiapapun dia pilih saya sentiasa sokong asalkan dia sebagai sahabat berbahagia.

Selamat berbhagia kawan.

Monday 12 February 2018

Aku Lupa & Silap

Aku silap.

Kerana aku fikir jalannya mudah,
Maka aku terus bergerak laju untuk mencapai destinasi impian.
Sehingga aku lupa, ada tangan yang perlu dipimpin.
Amanah yang aku janji untuk tidak disakiti.

Aku lupa manusia itu bukan mesin,
Yang boleh diprogram mengikut kehendakkku.
Manusia punyai emosi yang berubah
Yang tiada dari tanggapan perancanganku

Aku tidak mahir selok belok jalan baru ini,
Yang aku fikir ianya mudah,
Mungkin aku lupa bahawa aku bukanlah sendiri,
Ada permata yang perlu dibawa.

Tiada jalan yang sempurna,
Jika tidak berduri, likunya tetap ada,
Matlamat jadi asbab kenapa kita bermula,
Semangat jadi kekuatan kenapa kita bertahan.

Sungguh aku sedar, aku makin jauh dengan tuhan,
maka kerana itulah Dia menguji,
Untuk aku bergantung harap padaNya,
Agar aku tidak merasakan hambaNya lebih sempurna.

Manusia itu tidak akan pernah sempurna,
Yang cacat itu menyempurnakan sama lain,
Aku terlalu mengharapkan,
Tidak pula aku memberi.

Tuhan, moga Kau tunjukkan jalan.

Wednesday 7 February 2018

Puisi Angin buat Mentari


Maafkan diriku duhai mentari,
Kerana jauh dari sempurna,
Yang kau harap untuk memberi,
Namun tidak pula kau terima

Aku bukan seperti yang lain,
Seperti awan yang menemani,
Kerna aku ini seperti angin,
Sering bergerak kesana sini

Jangan kau redup berganti hujan,
Angin bertiup bukannya taufan
Kerna angin sifatnya setia
Pergi jauh kembali semula

Angin kadangkala tidak mengerti,
Lumrahnya sendiri cuma bertiup,
Pancarkan sedikit cahaya erti,
Agar perjalanannya tidak tertutup

Buaian angin masih jauh,
Jangan dibakar amarah mentari,
Bimbang nanti keduanya mengaduh
Membawa padah lagilah rugi


*Cubaan menulis puisi