Perantau yang mengunjung

nuffnang ads

Sunday 24 December 2017

Persepsi temuduga persatuan di Universiti

Hari ini ramai dari mahasiswa melahirkan kebimbangan dan melontarkan rasa tidak puas hati kepada majikan-majikan masa kini berkenaan persoalan atau kriteria yang ditetapkan untuk mengambil perkerja baru.

Hakikatnya, kadang-kadang kita sebagai mahasiswa juga menerima konsep ini secara tidak lansung dan mengamalkan dan menjadi satu ideologi yang perlu dipatuhi kerana sudah jadi amalan turun temurun.

Contoh yang paling jelas apabila mahasiswa-mahasiswi yang terlibat dalam kelab persatuan (yang sudah menjadi senior) melaksanakan temuduga kepada ahli-ahli kelab yang baru atau exco-exco yang ingin dipilih. Seringkali terdengar atau terbaca soalan atau ayat yang dilemparkan seperti ini:

"Apa awak boleh sumbangkan pada kelab ini?"
"Apa pengalaman kepimpinan anda untuk naikkan kelab ini?"

Nah, bukankah pemilihan aktiviti kelab sudah jadi seperti interview kerja? Bukan maksud tulisan ini untuk menolak pencarian ahli melalui temuduga,dan bukan juga bermaksud soalan-soalan tersebut tidak boleh ditanya, tapi saya berpandangan panel-panel penemuduga biarlah melihat kepada karakter seseorang bukan semata-mata melihat pengalaman di atas kertas.

Peluang. Sebagai seorang yang pernah diberi peluang, saya sentiasa percaya setiap orang perlu diberi peluang, siapa tahu mereka yang kita pilih, rupanya berbakat besar dalam kepimpinan atau sangat komited kepada kelab yang dipilih.

Berapa ramai hari ini saya lihat rakan-rakan yang dulunya tampak “mengarut” dan “gila” semasa temuduga hari ini menjadi pemimpin pelajar yang hebat. Kalau kita mahu majikan kerja berlaku adil kepada kita, bukankah kita patut bermula amalan tersebut di Universiti lagi? Walaupun pada sesetengah orang, ianya hanyalah di sebuah persatuan.

Lihatlah pada mata hati bukan semata-mata pencapaian diatas kertas.

Saturday 23 December 2017

Bersederhanalah dalam berpolitik

Ramai dalam kalangan kita suka mencampur adukkan ideologi politik dalam kehidupan. Maaf cakap, kalau kita tengok orang-orang lama politik negara kita pun sama. Isu banjir pun masukkan politik. Isu jenayah pun masukkan politik bahkan isu mempertahankan Palestin pun nak dipolitikkan. Berpuluh-puluh tahun amalan seperti ini diamalkan. Sadisnya, ia menjadi ikutan anak-anak muda dalam menyambung legasi "politik kebencian".

Saya suka berkawan dengan semua orang tanpa membezakan ideologi politik dan saya tak kisah andai terhukum dengan persepi politik yang dilemparkan kepada saya.

Saya masih ingat, pernah sekali saya dipinggirkan oleh beberapa pihak hanya kerana saya rapat dengan pihak yang berlawanan ideologi dengan mereka. Padahal saya pun rapat dengan mereka.  Buat meeting asing, hantar email asing dan juga group whatssapp asing. Memang rasa terpinggir. Namun, saya bertenang dan buat sahaja kerja saya. Kalau ada mesyuarat rasmi, saya tidak pernah terlepas hadir walaupun sekejap dan akhirnya barulah mereka faham prinsip saya yang sebenar. Lagipun, saya masih bersama walaupun dalam kalangan mereka sendiri sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Mudah. Saya bukan orang politik Jauh sekali untuk target menjadi sebahagian dari ahli politik. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih tanpa terlalu obses dengan politik. Bersederhanalah. Kita tidak akan tahu sahabat yang dulunya susah senang bersama boleh beralih arah politik, Disaat itu, adakah kita masih ingin membenci hanya kerana dia sudah bertukar warna?

Tepuk dada tanya selera.

Kita sebagai pemimin generasi baru, perlu lebih tenang dan tidak terlalu mengikut amalan-amalan negatif generasi terdahulu yang mengamalkan politik kebencian dan pembunuhan karakter.

Friday 22 December 2017

Persatuan Mahasiswa Jadi Alat Politik


Kadang-kadang saya sedih melihat kepada rata-rata mahasiswa sekarang ini. Umpama burung di dalam sangkar emas. Cantik dari luar, terperangkap kebebasannya. Disuap dengan makanan-makanan politik dan merasai kebahagiaan sementara kerana dibela “orang-orang politik”. Tampak gah berbanding burung-burung lain yang terkpaksa berkerja keras mencari makanan sendiri. Hakikatnya terpenjara.

Memang diakui peruntukan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mahasiswa boleh berpolitik di luar kampus. Sungguh saya tidak menyangkal, jauh sekali menghalang kepada siswa-siswi untuk menceburi bidang politik samaada melalui proksi parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Ia menunjukkan bahawa mahasiswa itu cakna akan pentadbiran negara.

Namun, kita menyangka hujan sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari, yang mana niat asal untuk melibatkan diri dalam politik menjadikan mahasiswa-mahasiswi terlalu obsess hingga tergelincir kepada tujuan asal. Normalnya, ia selalu terjadi kepada pemimpin-pemimpin persatuan pelajar khususnya mereka yang bergelar Majlis Perwakilan Pelajar.

Mudah untuk seseorang pemimpin mahasiswa menjadi hanyut dengan habuan politik seandainya mereka tidak berhati-hati. Apa yang lebih membimbangkan, kalau beliau sendiri menyertai sebarang persatuan pelajar untuk dijadikan alat untuk menaikkan “cable” politik empunya diri. Sering sahaja berlaku isu menggunakan kelab-kelab yang dipimpin untuk melaksanakan program bersifat politik dan mengerah ahli-ahli persatuan yang dipimpin untuk hadir kepada program politik bagi menaikkan nama sendiri. Rata-rata contoh seperti ini hadir, bila pemimpin pelajar jadi pemimpin dengan niat yang salah.

Jarang sekali antara kita menyedari bahawa politik itu sebenarnya alat sahaja. Ya, alat untuk kita mempermudahkan segala tugasan memperjuangkan hak dan kebajikan pelajar. Saya tidak menafikan untuk pemimpin pelajar menjalankan hubungan baik dengan “orang-orang politik”, namun jangan sampai kita dijadikan alat politik orang lain. Kita perlu ingat “orang-orang lpolitik” yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini jauh lebih makan garam dan bijak untuk mempergunakan kita berbanding niat kita yang ingin menggunakan mereka.

Oleh kerana itulah, pemimpin pelajar perlu sedar dan sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi pak turut sehingga tujuan asal untuk berpersatuan di universiti lari dari landasan. Perjuangan jadi retorik semata-mata.

Ya, politik memang alat. Jangan sampai kita diperalatkan.

Monday 11 December 2017

Pemimpin Pelajar dan Group Assignment

Kredibiliti pemimpin mahasiswa bukan sekadar dipandang dengan gahnya berbahas atau berpidato, tidak juga diukur dengan berapa bilangan likes di setiap posting facebook dan instagramnya. Kadang-kala ianya bermula daripada sekecil-kecil perkara yang kita tak rasa ianya sebagai suatu masalah pun. Salah satunya:
“GROUP ASSIGNMENT”
Antara soalan popular yang sering ditanya mahasiwa/I yang baru menceburkan diri dalam persatuan dan kepimpinan di universiti adalah “macam mana saya nak buat bila rakan-rakan seolah tak suka pada saya sebab terlalu fokus dan sibuk dengan aktiviti berpersatuan?”
Lazimnya, punca sesorang pemimpin pelajar tak digemari rakan sekelas mostly bukan sebab kita sibuk pun. Ye la, segala kesibukan mempertahankan hak mahasiswa sambil melaungkan slogan-slogan perjuangan. Fuh, penuh semangat. Bertenang. Rakan-rakan sekelas actually tiada masalah pun dengan kesibukan anda. Malah mereka pun sokong. Ataupun, sebenarnya mereka tak peduli pun. Yang jadi “problem”nya bila nak dah bahagi task untuk group assignment, kau tak siapkan. Lepas member siapkan, tumpang isi nama pada muka depan assignment.
Macam mana orang nak percaya dengan kredibiliti kita sebagai pemimpin pelajar kalau assignment pun tak siap kan?
Ada banyak cara nak dapatkan “win-win situation” dalam menangani isu group assignment ni contohnya:
1.Jadikan diri sebagai ketua kumpulan. Kita bahagi tugas dan kita yang menentukan masa perbincangan mengikut waktu yang kita free dari aktiviti berpersatuan.
2.Pilih untuk berada dalam kumpulan yang ada ketua kumpulan yang fleksibel. In case kita tak boleh datang perbicangan, beliau boleh arrangekan waktu sesuai.
3.Ambil part paling susah. Tapi jangan tak siap pula.
4.Impresskan ahli kumpulan dengan siap paling awal walaupun masih banyak yang tak betul.
5.Balik meeting persatuan pukul 2 pagi sekalipun, pastikan siapkan juga assignment tu kalau due date esok.
6.Paling teruk pun, atleast lantiklah diri jadi tukang compile, tukang print, tukang binding sekurang-kurangnya.
*Dengan rakan sekelas ni, kalau tak boleh buat mereka suka kita, atleast jangan lah buat mereka benci kita.

Friday 8 December 2017

“Expectation” yang perlu dipenuhi


Masih saya ingat kata-kata seorang kawan yang saya kira membawa kepada titik perubahan pada corak permikiran saya. Masa itu, kami sedang minum-minum di kedai makan. Lama tidak berjumpa maka masa yang ada diguna sepenuhnya bagi menyambung silaturahim.

“Macam mana nak hilangkan stress sebab nak penuhi harapan orang lain yang terlalu tinggi pada kita?”

Soal saya memulakan bicara. Perkara ini memang sudah agak lama bersarang di hati. Saya agak rasa terbeban dengan anugerah dan pengiktirafan yang diberikan banyak pihak kepada saya hingga pada satu tahap saya merasakan bahawa bagaimana saya ingin buktikan bahawa saya layak menerima penghargaan yang diberikan pada saya. Jauh dari sudut hati, saya risau jika ada yang beranggapan selepas menerima anugerah, saya diam dan tidak menyumbang kembali pada masyarakat.

Jawapan yang kawan saya berikan agak menyentapkan fikiran saya pada masa itu
“Inilah silap kau, bila kita menerima pengiktirafan manusia kita fikir bahawa ianya dari manusia, sedangkan semua yang kita perolehi itu hanyalah belas ihsan dan rezeki dari Allah S.W.T. Kamu tidak hebat pun dengan menerima segala anugerah dari manusia, semua kerja tuhan”

Allahu, sungguh ia menyedarkan saya. Dalam saya mempunyai niat murni nak menyumbang kembali kepada masyarakat dengan harapan berbaloinya anugerah yang diberikan kepada saya, saya lupa dan leka bahawa saya menjadi ego secara tidak lansung. Ego kepada sang pencipta dengan merasakan diri ini sempurna untuk memenuhi harapan atau “expectation” semua orang sedangkan saya cuma manusia yang terbatas kuasanya. Dalam rasa tekanan merealisasikan “kelayakan penerimaan anugerah”, saya lupa untuk mengadu, meminta pertolongan dari Allah S.W.T untuk bantu saya sedangkan janji Allah itu pasti, minta sahaja padanya nescaya Dia akan bantu. 

Ya Rabb, maafkan kealpaan hambaMu ini.

Monday 4 December 2017

Rogol dan "Victim blaming"

Sebelum ini, banyak pula kita dengar kes-kes rogol terutamanya melibatkan pelajar-pelajar IPT di ibu kota. Pelbagai respon yang dapat kita lihat hasil-hasil komen netizen responsif berkenaan isu-isu ini.Agak saya terkesan hendak saya tulis bila saya melihat komen-komen majoritinya dari kaum lelaki yang berbaur mentaliti “Victim blaming” melalui beberapa siri kes rogol sebelum ini

Pasti anda juga ada terbaca komen-komen yang menyelar mangsa rogol dengan ayat-ayat seperti:

“Padan muka, siapa suruh keluar pagi-pagi buta, kan dah kena rogol”
“Perangai gedik mesti suka sama suka, pastu salahkan lelaki”
“Kalau tak tutup aurat, mesti tak kena rogol”

Mentaliti sadis. Ok, pertama kali, kita kena ubah minda kita bahawa sudah tiba masanya untuk kita tanam dalam minda anak-anak lekaki terutamanya yang bahawa:

1.      “Rogol itu satu jenayah!” Tiada kaitan samaada wanita itu bertudung, berpakaian seksi mahupun tidak menjaga pergaulan. Hatta, kalau perempuan berjalan-jalan tak pakai baju sekalipun, tiada hak lansung untuk membenarkan lelaki merogol sebagai hukuman kerana “dosanya” tidak menutup aurat. Lansung tidak. Bezakan!

2.     Ibu bapa perlu didik anak lelaki untuk menghormati wanita bukan memandang sebagai objek seks semata-mata. Masyarakat kita sudah dibiasakan untuk mendidik anak perempuan berkenaan “precaution menjaga diri dari tidak dirogol” tetapi kurang cakna mendidik anak lelaki untuk menghormati kaum wanita dan jadi lelaki yang bertanggungjawab.

Bukan maksud saya membenarkan wanita tidak menutup aurat, jauh sekali berpakaian tidak sopan serta tidak menjaga pergaulan Cuma kadangkalah kita alpa yang bahagian perempuan hanyalah mampu “berjaga-jaga” sedangkan bahagian lelaki adalah lebih penting “menghalang”.

Ada sebab kenapa dalam surah AnNur yang menyatakan lelaki kena menundukkan pandangan pada ayat 30, kemudian barulah disusuli dengan penjagaan aurat wanita pada ayat 31. Keduanya perlu selari, bukannya bila benda dah terjadi salahkan sebelah pihak semata-mata kerana tidak melaksanakan suruhan tuhan. Sebab bila tak tundukkan pandangan ni la ada kes-kes rogol bayi bahkan rogol anjing. (saya sertakan pada gambar diatas walaupun mungkin agak ekstrim).


Saya teringat kisah seorang suami yang bertanyakan pada seorang sheikh berkenaan kenapa isterinya sudah tidak kelihatan cantik, walhal wanita itulah yang paling cantik sewaktu beliau nikahinya.
Maka syeikh itu menyatakan “Sekalipun engkau mengawini seluruh perempuan yang ada di dunia ini, pasti anjing-anjing yang berkeliaran di jalanan itu lebih cantik dalam pandanganmu dari pada mana-mana wanita”

Pokoknya, tugas lelaki itu sendiri untuk mendidik bukan menyalahkan. Makin meningkat umur makin terasa betapa besarnya bebanan yang perlu ditanggung terutamanya bagi mereka yang bergelar anak lelaki, bakal bergelar suami dan juga bapa.


Tulisan ini saya tulis sebagai pesanan buat peringatan diri sendiri semata-mata. Moga saya turut perolehi kebaikan dari apa yang saya tulis.

Sunday 3 December 2017

Kelebihan Graduan Teknologi Kejuruteraan : 4 Tahun kemudian

Assalamualaikum W.B.T

Tulisan ini saya tulis sebagai kesinambungan kepada posting saya 4 tahun lepas berkenaan Perbandingan Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan pada 12 Julai 2013. Jujurnya posting tersebut merupakan posting paling ramai dibaca yang pernah saya tulis. Ramai juga komen-komen positif dan ilmu tambahan pada ruangan komen.

Perbezaannya adalah apa yang saya tulis tersebut adalah semasa saya masih belajar, baru masuk semester 1 tahun 2 di Universiti. Jelas pada masa tersebut saya sendiri tidak nampak jalan yang jelas mengenai kekuatan Jurusan Teknologi Kejuruteraan ini. Jadi ini adalah perkongsian bekas graduan teknologi kejuruteraan yang mungkin boleh jadi rujukan kepada mahasiswa-mahasiswi yang masih belajar.

Gamabr bersama umi saya pada konvokesyen pada 2016
 Baiklah, saya tidak mahu menghuraikan terlalu panjang mengenai kejayaan saya atau apa-apa yang berkaitan diri. Mungkin boleh dikongsi di lain masa. Cuma untuk posting ini, saya tulis sebagai pemberi semnagat atau menghilangkan keresahan kepada kalian yang mungkin masih belajar atau yang tengah berkira-kira nak mengambil jurusan Teknologi Kejuruteraan. Saya senaraikan kelebihan yang bakal diperolehi.

1. Isu tak boleh jadi Jurutera
Rasanya ramai yang sudah tahu berkenaan ini. Sepatutnya statement diatas betul kerana pekerjaan Engineer hanya untuk mereka yang mengambil jururusan kejuruteraan manakala pekerjaan bagi jurusan teknologi kejuruteraan dipanggil "Teknologis". Namun hakikatnya di Malaysia, majikan berpandangan kedua-dua bidang ini sama sahaja. Berapa ramai dari kalangan rakan-rakan termasuklah saya tiada masalah bekerja sebagai Jurutera. Tiada istilah beza pembayaran gaji lansung. Jadi jangan risau, bila anda keluar habis belajar, "as long as anda kompeten, boleh buat kerja" majikan tetap ambil.

2. Tak boleh jadi IR (Jurutera Peofessional)
Haa, yang ni pun betul tapi tidaklah setepat itu sebab untuk graduan teknologi kejuruteraan, istilah professional diiktiraf tidak dipanggil "IR" tapi dipanngil "TS". Tetapi, andai kata, anda rasa nak juga Title IR tu, tiada masalah cuma jalan jadi panjang sikit, yang mana anda kena ambil Master dalam kejuruteraan yang diiktiraf oleh BEM dan IEM, kemudian baru boleh lalui proses seperti biasa. Saya pun sekarang sedang sambung belajar Master Kejuruteraan Pembuatan. Mohon doakan ya.

3. Lagi mudah diserap kerja
Sebab apa saya cakap macam tu? Kerana sistem pembelajaran dalam teknologi kejuruteraan ni lebih "mesra industri". Contohnya, perlaksanaan Latihan Industri selama 6 bulan pada semester akhir sememangnya menyumbang kepada kebolehpasaran pelajar untuk diserap. Ramai diantara rakan-rakan saya diserap kerja sebelum bergraduasi lagi. 6 bulan adalah tempoh "interview" secara tidak lansung industri kepada pelajar-pelajar. Seandainya tidak diserap sekalipun, 6 bulan adalah tempoh berharga untuk meyakinkan industri-industri lain.

4. Mesra Industri
Semasa saya attach di salah sebuah syarikat untuk Master projek yang saya terpaksa rahsiakan, saya hadir dalam diskusi bersama Timbalan Naib Canselor Akademik UTeM, beliau bertanya kepada wakil pihak syarikat, "which one do you prefer between engineering technology and pure engineering". Tanpa ragu-ragu beliau menjawab "of course Engineering Technology". Disini saya tekankan bukan bermaksud mereka tidak percaya kepada graduan kejuruteraan, tetapi mereka lebih suka sistem yang diterapkan terhadap graduan teknologi kejuruteraan. Bagi mereka semua pelajar sama sahaja. Sistem universiti yang mana lebih mesra pada mereka, mereka akan pilih.

Akhir kata dari saya, buat mereka yang masih belajar dalam jurusan teknologi kejuruteraan, jangan patah semangat bila kadang-kadang ada yang memperlekehkan kita sebagai graduan kejuruteraan kelas kedua. Berapa ramai rakan-rakan kejuruteraan yang pernah sinis kepada saya dahulu kini mengakui berkenaan keberkesanan sistem belajar teknologi kejuruteraan terhadap industri di negara kita pada hari ini. Belajar lah jurusan apa sekalipun, jangan sesekali merendahkan orang lain. Apapun yang kita belajar, yang penting niat kita kerana Allah S.W.T

*Sekrang saya pelajar kejuruteraan untuk Master, tetapi Teknologi Kejuruteraan masih dihati hehe





Saturday 2 December 2017

Gembira Terbit Seiring Timbulnya Redha

Pada saat kita kehilangan sesuatu yang mungkin pernah kita suka, sayang atau cakna, tidak ramai yang mampu menghadam rasa kecewa, amarah, dendam mahupun sedih. Maka tersalurlah rasa negatif yang timbul itu untuk dihembuskan kepada para manusia yang dirasakan bersalah bahkan lebih parah lagi kita turut menyalahkan tuhan.

Ya. Tuhan yang mentakdirkan.

Tatkala redha dan percaya pada tuhan itu hilang, saat itulah bisikan mula menguasai. Kita jadi lupa bahawa kebahagiaan yang diterima sebelum ini hanyalah pinjaman dari Allah S.W.T.

Kita jadi lupa bahawa dalam kita kehilangan banyak perkara, tapi tetap kita masih punya banyak nikmat untuk kita hargai. Kita lupa kerana tiada sedetik pun di hati kita untuk menerima takdir melalui apa yang dikatakan REDHA.

Hari ini, jika hidup dengan percayakan bahawa Allah sebaik-baik perancang, maka kita pasti boleh terbit rasa gembira untuk apa yang kita hilang. Bukan gembira kerana tidak sayang dengan apa yang kita hilang. Sebaliknya yakinlah bahawa kita diuji. Tetap percaya Allah S.W.T sedang menguji hambaNya yang disayangi.

Cubalah bergembira pujuk hati untuk bersama Allah S.W.T. Kelak ada ganjaran untuk kita

Wednesday 29 November 2017

Selamat Datang Industri 4.0

Tadi. Ada “morning meeting”. Seperti biasa semua staff perlu “update” apa kerja yang dibuat semalam. Pagi-pagi lemau la sikit. Cuma, perbicangan jadi menarik bila masuk topik Industri 4.0. Sebelum ni, saya tak la ambil ‘port’ sangat walaupun mula disebut-sebut oleh tapi melihatkan kesungguhan company untuk apply IR4 ni jadi agak menarik untuk dikupas.

Terdetik di hati, siapa sangka masih ramai lagi dalam kalangan kita tidak menyedari akan “tsunami” Industri 4.0 baik dalam kalangan graduan mahupun segelintir ahli-ahli akademik bakal mempengaruhi struktur pekerjaan masa kini.

Industri 4.0 menariknya bakal mempermudahkan kerja-kerja manusia kerana ianya berkonsepkan siber-fizikal yang menitikberatkan sistem robotik & automasi dan komunikasi yang serba canggih melalui adaptasi Internet Of Things (IOT). Tambahan pula, kemunculan sistem fizikal siber ini yang sedang melanda seluruh dunia akan menyebabkan 60 peratus pekerjaan yang ada pada masa kini, sudah tidak wujud dalam jangkaan 20-30 tahun akan datang.

Sebelum ni saya ada terbaca dari kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa mengikut laporan global, industri 4.0 ini menyebabkan negara-negara sedang membangun kehilangan sebanyak 7.1 juta peluang pekerjaan memandangkan ia tidak memerlukan lagi orang untuk memproses data atau sebagainya. (Sekarang ini, kebanyakan industri Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh dan perlu meningkatkan tahap untuk sampai ke 4.0).

Ada yang persoalkan “kenapa kita perlu “follow” dan tak “stay” dengan sistem pekerjaan sekarang?”

Kita tiada pilihan. Samaada tertinggal ke belakang atau “take it as challenge”. Negara lain sudah mula bergerak. Kita tidak mahu tertinggal. Masyarakat perlu tahu dan bersedia. Saya percaya KPT turut menerapkan elemen-elemen IR4 ni dalam pelan pembangunan pendidikan bagi meningkatkan nilai komersial graduan Malaysia.

Wake up! dan Selamat datang Revolusi Industri 4.0

Kenapa langkah berhenti kerana kata-kata manusia?

Tanyalah sesiapapun. Siapa yang tidak inginkan kejayaan. Ada antara kita sanggup mengorbankan masa, wang ringgit dan komitmen demi sebuah kejayaan.  Namun agak sedih dan terkilan, bila saya perhatikan  ramai antara kita terhenti langkahnya hanya kerana kata-kata manusia.

Manusia mampu berkata segala apa perkataan pada kita, tapi yang membuktikannya adalah KITA.

Kadang-kadang kita akan tersilap langkah, mengakibatkan diherdik, dihina atau dikritik, lalu langkah kita jadi perlahan, lesu dan akhirnya kita berhenti. Tahu, ianya perit. Sakit kadang-kadang rasa pisau terhunus di jantung. Tapi kita silap. Silap besar bila kita berhenti melangkah. Seolah-olah kita mengiakan kata-kata mereka bahawa kita tidak mampu. Mereka boleh berkata tapi kita yang buktikan. Jika mereka ucapkan itu salah, maka buktikan mereka salah dengan usaha kita. Nafikan dengan usaha bukan nafikan dengan kata-kata kemudiaanya berhenti melangkah.

Hanya dengan sedikit kata-kata negatif yang menjatuhkan dilemparkan pada diri, terus kita lupa  seribu satu kata-kata positif yang membangunkan kerna kita manusia yang hanya nampak satu titik hitam walau dikellilingi warna putih.

Bila emosi dikoyak, semuanya jadi negatif. Kita lupa untuk berjaya, perlu melangkah dengan positif. Kita lupa sejauh mana kita berada tahap sekarang adalah hasil kata-kata positif mereka-mereka yang sentiasa di belakang kita. Kita jadi lemah dengan sedikit kata-kata negatif, jadi malas untuk melangkah, jadi malas untuk teruskan perjuangan. Pada masa yang sama kita telah khianati mereka yang percayakan kita, yang selalu memberikan kata-kata positif kepada kita saat senang dan susah.

“Tapi saya rasa jarang sangat orang bagi kata-kata positif pada saya, semuanya negatif”

Biarpun seribu satu manusia menghukum kamu, jangan risau melangkahlah dengan bangga ke puncak kejayaan kerana Tuhan kan ada. DIA tak pernah beri kata-kata negatif pada kamu

Thursday 12 January 2017

Jangan takut pada rasa kecewa.


Kita semua manusia tak kan pernah terlepas dari merasai kekecewan. Kekecewaan boleh hadir dalam pelbagai entiti seperti gagal peperiksaan, putus cinta, kehilangan orang tersayang, cita-cita yang tidak berkesampaian dan pelbagai lagi.
Lazimnya ia buat kita jatuh dan pasrah. Pernah tak kita terfikir setiap kekecewaan yang menjenguk, pasti ada variasi hikmah yang boleh kita perolehi.
1) Teguran dari tuhan untuk terus kita bergantung kepadaNya bukan sekadar sandaran pada manusia.

2) Satu "checkpoint" untuk kita terus cemerlang setelah kekecewaan berjaya diharungi.

3) Proses untuk kita belajar untuk jadikan diri kita lebih baik dari sebelumnya.

Jangan tunduk, dongak, bangkit dan terus berlari. 
Moga Allah S.W.T permudahkan. [94:6]

Tuesday 3 January 2017

Tindakan Drastik

Pernahkah anda melakukan tindakan drastik?
Yang kadang-kadang kita rasakan  "betulkah aku buat macam ni?"

Ketahuilah dalam apa jua tindakan kita pasti ada risikonya.
Perancangan selepas tindakan drastik seharusnya lebih teliti.

Bagaimana memastikan ianya selari mengikut syariat?
Bagaimana perancangan kewangan? Perancangan masa hadapan?
Semua itu perlu dirancang sehabis baik.

Dalam kehidupan saya, saya cuma percaya setiap tindakan kita, samaada salah atau tepat ianya hadir untuk membuatkan kita jadi lebih baik. Jika kecewa, maka itulah teguran Allah S.W.T untuk jadikan kita sebagai insan yang lebih baik supaya kita terus bergantung kepadaNya dan percaya Allah S.W.T akan gantikan sesuatu yang lebih baik. Jika berjaya, maka itu juga teguran Allah S.W.T untuk kita perbaiki diri kita agar lebih bersyukur dan dekat padaNya.

Apa yang penting. Salah terima teguran. Betul jangan mendabik dada. Terus perbaiki diri.

Terus bersabar dan percaya kepada ketentuanNya. Bahagia itu bukan pada manusia.