Perantau yang mengunjung

nuffnang ads

Thursday 11 January 2018

2 jenis kuasa perlu Pempimpin Pelajar ketahui

Sering terjadi apabila seseorang diberikan kuasa sebagai seorang pemimpin terutamanya dari kalangan anak-anak muda bergelar mahasiswa ini, mereka mudah untuk tergelincir dek kerana merasai “keseronokan” dipuji dan dilambung-lambung. Walhal mereka perlu sedar jawatan yang disandang itu sifatnya sementara berpaksi kepada kuasa sejenak semata-mata. Umpama roda, kehidupan ini berpusing, kuasa yang kita ada tak semestinya akan kekal selama-lamaya. Oleh kerana itulah, saya berpandangan dengan kuasa yang kita perolehi, seharusnya kita faham membezakan antara “kuasa formal” dan “tidak formal” seterusnya bijak mengaplikasikan mengikut situasi.

Saya berikan dua situasi yang berbeza:

Situasi pertama:
Amin sebagai presiden kelabnya mengenakan arahan kepada Exco Kelab untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Namun begitu, oleh kerana Exco tersebut lambat melaksanakan tugasnya, maka beliau telah menghukum Exco tersebut untuk tidak boleh mengikuti percutian bersama ahli-ahli kelab lain atas alasan tidak cemerlang. Manakala Exco yang sentiasa cepat menjalankan tugas, Amin akan memberikan imbuhan-imbuhan yang lumayan kepada mereka sebagai katalis untuk mereka lebih cemerlang pada masa hadapan. Setiap kali perbincangan, Amin kadangkala tidak hadir kerana kesibukan namun seringkali bercanggah keputusan dengan ahli-ahli kelabnya. Apabila dipersoalkan, beliau sentiasa menggunakan ayat “ahli-ahli kena sentiasa menghormati keputusan Presiden”.

Situasi ke dua:
Faiz sebgai presiden kelabnya mengajak Exco kelabnya melaksanakan tugas yang diberikan bersama-sama kerana beliau faham exco tersebut masih hijau lagi dalam organisasi. Beliau tidak mampu memberikan insentif kepada Exco yang cemerlang melaksanakan tugasan namun ucapan terima kasih dan penghargaan sentiasa meniti di bibirnya. Setiap kali perbicangan juga, beliau menjadikan dirinya orang terawal sampai di bilik mesyuarat.

Situasi pertama adalah berkaitan pemimpin yang mengaplikasikan “Kuasa formal” yang mana pemimpin meluaskan pengaruh dengan menggunakan kedudukannya dalam sesuatu organisasi. Kebiasaanya, bagi mendapatkan penyelesaian tugasan dengan pantas, ada pemimpin yang menawarkan insentif bagi meningkatkan moral anak-anak buah. Perkara ini tidak salah sebenarnya kerana bagi merkea, kuasa dan kedudukan yang sah berhak dalam memberi ganjaran dan menghukum seseorang. Pemimpin sebegini tidak cenderung untuk berkongsi rahsia bersama ahli-ahli dibawah pimpinannya kerana bimbang dipersoalkan sebarang keputusan yang dibuat pada kemudian hari.

Manakala situasi ke dua adalah berkaitan dengan “Kuasa informal”. Dalam aplikasi kuasa informal ini, pemimpin tidak terdesak menggunakan kedudukannya sebagi agen meluaskan pengaruh sebaliknya mempengaruhi anak buahnya seperti menjadikan diri sebagai contoh , bersikap jujur dan menonjolkan diri dengan kadar yang disenangi anak-anak didik. Pemimpin sebegini lazimnya akan menjadikan konsep kepimpinan melalui teladan sebagai asas atau konsep bagi membantu dan meyakinkan insan-insan yang dipimpin kerana mereka yang dibawah akan lebih selesa untuk berkerja. Namun begitu, tidak dinafikan pemimpin pelajar yang mengimplementasikan konsep kuasa tidak formal ini memang memerlukan kesabaran yang tinggil dalam membentuk insan-insan yang dipimpin. Bukan semua orang mampu bekerja tanpa ganjaran. Atas ebab itulah ramai pemimpin yang mengikat insan dipimpin dengan budaya ketakutan melalui perlaksanaan hukuman.

Saya berpandangan kedua-duanya perlu seimbang. Oleh kerana itulah, elemen penting yang perlu ada untuk menyeimbangi kedua-kedua perlaksanaan kuasa ini adalah karisma. Karisma adalah daya penarik individu adalah sumber kuasa personal. Amanah, tanggungjawab dan kejujuran merupakan antara rantaian-rantaian efektif dalam mempengaruhi ahli-ahli organisasi. Insan yang dipimpin didapati akan cenderung untuk mengenali pemimpin tersebutdan mencontohi dari segi sikap dan tingkah laku mereka. Pemimpin seperti ini juga tidak akan teragak-agak untuk memberikan insentif seandainya ianya wajar dikongsi bukan semata-mata untuk disimpan buat diri sendiri semata-mata. Ianya lebih kepada konsep berkongsi kegembiraan dan kedukaan dalam sesebuah organisasi.


No comments:

Post a Comment